KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

KEBAIKAN :

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada  para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.

Kelebihan utama mempelajari bahasa luar ini ialah individu tersebut boleh memperoleh banyak maklumat tentang sesuatu ilmu tersebut. Banyak buku berkaitan dengan ilmu pengetahuan tinggi yang ditulis dalam bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris itu. Pelajar yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi pasti akan mudah untuk memahami sesuatu ilmu itu apabila memiliki kemahiran dalam bahasa Inggeris yang di anggap sebagai bahasa ilmu masyarakat dunia. Jelaslah, mereka yang mahir dalam pelbagai bahasa boleh membaca lebih banyak bahan ilmu lalu memperoleh pengetahuan yang tinggi berbanding golongan yang tiada kemahiran berbahasa itu.

Selain itu, kemahiran dalam bahasa asing juga boleh memudahkan individu itu berinteraksi dengan orang luar terutamanya pelancong. Kemampuan untuk berinteraksi sebegini boleh mengatasi sebarang salah faham yang timbul apabila salah seorang tidak tahu berbahasa asing itu.Kehidupan golongan yang mahir berbahasa ini juga menjadi lebih menarik kerana boleh berbual dengan orang dari negara lain tanpa sebarang rasa segan atau rendah diri itu. Sesungguhnya, kehidupan mereka yang mahir dalam pelbagai bahasa lebih ceria kerana boleh berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat asing itu.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi.  Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.