KESALAHAN UMUM INFERENS
Inferens ialah penerangan mengenai hasil sesuatu eksperimen atau mengapa sesuatu itu terjadi. Apa saja teori, konsep atau fakta Sains yang dipelajari dalam sukatan matapelajaran Sains sekolah rendah, boleh digunakan sebagai inferens.
INFERENS MEWAKILI PEMBOLEH UBAH DIMANIPULASIKAN.
Terdapat 3 jenis inferens:
a) Inferens bebas – Memberi alasan / sebab yang munasabah tanpa had.
Apa saja perkara yang ada di dalam minda, perkara yang difikirkan, perkara atau perkataan yang tidak dinyatakan dalam soalan (teori, konsep atau fakta Sains), boleh digunakan sebagai inferens.
b) Inferens terkawal – Memberi alasan / sebab berdasarkan sesuatu rangsangan atau pemerhatian tambahan yang diberi.
c) Inferens perbandingan – Memberi alasan / sebab dengan membandingkan pemerhatian lain yang diberi. JIKA TIADA PERBANDINGAN, JAWAPAN SALAH
Cara menjawab INFERENS yang betul adalah:
A) Pemboleh ubah bergerak balas dan huraiannya (pemerhatian) kerana perkara yang difikirkan yang boleh dijadikan sebagai faktor/sebab untuk menerangkan pemerhatian.
B) Tidak perlu menyatakan pemerhatian (jika pemerhatian telah dinyatakan atau soalan pemerhatian telah ditanya pada soalan sebelumnya), hanya nyatakan terus inferens. MESTI DIMULAKAN DENGAN KERANA
Berikut adalah beberapa contoh kesalahan umum INFERENS yang sering dilakukan oleh murid dalam menulis INFERENS.
1) Terdapat 2 buah akuarium iaitu akuarium A dan B, yang mempunyai saiz yang sama. 2 ekor ikan diletakkan di dalam kedua-dua buah akuarium tetapi terdapat lapisan minyak di dalam akuarium B.
Inferens SALAH:
Ikan di dalam akuarium B mati kerana ada lapisan minyak.
Inferens BETUL::
Ikan di dalam akuarium B mati kerana tiada udara untuk bernafas
2) Terdapat 2 buah ladang labu yang pokoknya ditanam pada jarak yang berbeza menghasilkan purata berat labu yang berlainan.
Inferens SALAH::
Purata berat labu di ladang A lebih berat kerana jarak tanaman lebih jauh
Inferens BETUL::
Purata berat labu di ladang A lebih berat kerana kurang persaingan ruang/ air/ nutrient berbanding di ladang B
3) Dalam satu penyiasatan 2 mentol disusun dalam litar bersiri dan litar selari. Salah satu mentol dalam litar telah pecah. Berdasarkan pemerhatian, tuliskan inferens yang sesuai
Inferens SALAH::
Mentol di litar bersiri tidak menyala apabila salah satu mentol terbakar kerana mentol disambungkan secara bersiri
Inferens BETUL::
Mentol di litar bersiri tidak menyala apabila salah satu mentol terbakar kerana terdapat satu aliran elektrik sahaja dalam litar bersiri.
4) Satu pemerhatian dilakukan terhadap pengembangan doh yang telah dicampurkan dengan 2 sudu yis. Nyatakan inferens kamu diatas perubahan yang berlaku pada pemerhatian tersebut.
Inferens SALAH::
Doh mengembang kerana dicampurkan dengan yis
Inferens BETUL::
Doh mengembang kerana yis / mikroorganisma bernafas.
5) Satu penyiasatan terhadap 2 kepingan roti P dan Q selepas dibiarkan selama beberapa hari. Roti P tidak direnjiskan air manakala roti Q direnjiskan air.
Nyatakan inferens kamu diatas perubahan yang berlaku pada pemerhatian tersebut.
Inferens SALAH::
Roti Q berkulat kerana direnjiskan air.
Roti P berkeadaan baik kerana ia roti kering.
Inferens BETUL::
Roti Q berkulat kerana mikroorganisma bertumbuh dengan air.
Roti P berkeadaan baik kerana mikroorganisma tidak boleh bertumbuh tanpa air.
6) Satu penyiasatan dilakukan dengan mencatatkan perubahan panjang bayang-bayang dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang.
Nyatakan inferens tentang perubahan panjang bayang-bayang.
Inferens SALAH::
Panjang bayang-bayang berubah kerana masa bertambah
Inferens BETUL::
Panjang bayang-bayang berubah kerana bumi berputar di atas paksinya dari barat ke timur.
Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu sedikit sebanyak anak-anak dalam menjawab soalan INFERENS dengan betul dan tepat.
Sumber : Facebook Personal HOME Tuition CIKGU Shahrul