KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR DISLEKSIA
Pendekatan Secara Individu Pelajar disleksia adalah sangat penting bagi guru untuk memulakan dengan bercakap, mendengar dan memberi perhatian kepada murid mereka. Hal ini membolehkan guru lebih mengenali siapa murid mereka dan pada masa yang sama dapat membina kepercayaan dan keyakinan murid disleksia yang sering mempunyai estim kendiri yang rendah. Apabila murid berasa yakin, adalah mudah untuk guru membimbing dan memberi sokongan dalam proses pembelajaran mereka.
Terdapat pelbagai strategi pengajaran kanak-kanak disleksia di dalam bilik darjah. Tidak semua murid disleksia akan bertindak balas terhadap teknik yang sama, penting untuk guru-guru untuk mempelbagaikan teknik mengikut kesesuaian dan tahap kebolehan kanak-kanak tertentu
Disleksia terdapat dalam pelbagai variasi dan berbagai jenis. Sesetengah kanak-kanak disleksia sukar mengingat sesuatu perkara, sebaliknya ada pula yang ingatannya sangat baik. Ada yang mempunyai kemampuan matematik yang baik, sebaliknya pula ada yang lemah. Mereka ini memerlukan bantuan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Pakar psikologi mencadangkan beberapa kaedah yang boleh diaplikasikan oleh guru atau ibu bapa untuk membantu kanak-kanak disleksia. Antaranya ialah menggunakan Kaedah Multisensori. Kaedah multisensori juga dikenali sebagai kaedah pelbagai deria.
Kaedah pelbagai deria ini juga dikenali sebagai kaedah VAKT yang merupakan akronim bagi:
V – visual (penglihatan)
A – audio (pendengaran)
K – kinesthetic (pergerakan )
T – tactile (sentuhan)
Sesuatu pengajaran yang baik haruslah melibatkan kepelbagaian deria yang ada dalam diri murid. Deria sentuhan dan pergerakan amat penting dalam sesuatu pengajaran yang bermakna selaras dengan deria penglihatan dan pendengaran.
Kajian National Institutes of Child Health and Human Development di Amerika mengatakan kaedah pembelajaran multisensori ialah kaedah yang paling efektif untuk mengajar kanak-kanak yang bermasalah dalam bacaan. Kajian tersebut menunjukkan kaedah multisensori lebih berkesan daripada kaedah fonetik. Kaedah ini menjadi lebih efektif jika input sensori seperti penggunaan cahaya yang terang atau huruf menggunakan kertas pasir digunakan.
LANGKAH MEMBANTU KANAK-KANAK DISLEKSIA
⚤ Membawa berjumpa dengan pakar psikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal bagi tujuan intervensi untuk menanganinya.
⚤ Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
⚤ Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.
⚤ Sentiasa sabar melayani kerenah mereka yang kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
⚤ Membacakan cerita untuk anak-anak serta menjadi ahli persatuan sokongan ibu bapa di tempat persekolahan anak.
⚤ Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
⚤ Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap prihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.
⚤ Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.
⚤ Memberi kebebasan yang terbatas serta nasihat untuk mengenal identiti sendiri.
⚤ Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian. Contohnya, bagus atau pandai.