MANFAAT DAN TIPS SUKA MEMBACA BUKU

Buku ialah sumber ilmu. Ilmu pula ialah jambatan untuk menuju kejayaan. Lebih banyak buku yang kita baca, lebih banyak ilmu yang kita perolehi. Lebih banyak ilmu yang kita perolehi, lebih banyak perkara yang kita tahu dan lebih tinggi keyakinan diri yang kita miliki.

 

Namun, masih ramai antara kita yang mempunyai tahap suka membaca buku yang rendah atau dalam erti kata mudah, malas membaca! Searus dengan kemajuan teknologi pada zaman kini, ramai orang yang lebih suka menghabiskan masa dengan mengadap gajet selama berjam-jam dalam sehari.

 

Jika ditanya kepada anak muda tentang hobi-hobi yang mereka miliki, bermain permainan digital tentu akan menjadi hobi pertama dan menjadi pilihan majoriti mereka. Sukar untuk mendengar hobi membaca buku sebagai hobi yang mereka paling suka lakukan.

 

Membaca buku adalah sesuatu yang membawa banyak manfaat dalam kehidupan kita. Ilmu yang kita perolehi mampu menjadi pencetus inspirasi. Jika kita inginkan hasil sesuatu kerja yang terbaik, kita perlu mempunyai idea-idea yang hebat. Kita perlu berimaginasi! Kita perlu menjadi kreatif! Sebab itulah kita digalakkan membaca buku supaya otak kita bertambah cerdas dan pintar. Kita akan menyedari yang minda kita tidak lagi sukar mendapatkan inspirasi dan sudah mampu melaksanakan sesuatu kerja dengan lancar apabila kita suka membaca buku.

 

Ilmu juga menjadikan kita mudah membezakan baik buruk sesuatu perkara. Ilmu menjadikan kita sukar dipengaruhi anasir-anasir yang tidak elok. Ilmu menjadikan kita sukar dipergunakan oleh individu-individu yang berniat jahat. Orang yang suka membaca buku mempunyai minda yang lebih terbuka. Apabila terdapat sebarang masalah, orang begini mampu melihat masalah itu dalam pelbagai perspektif terlebih dahulu dan tidak menghukum secara melulu.

 

Ilmu adalah kuasa. Ilmu mampu menambahbaik keyakinan diri seseorang. Ilmu yang banyak diperlukan seseorang yang ingin bergelar ketua atau pemimpin. Ilmu boleh membantu kita dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup dan membuat sesuatu keputusan yang lebih baik.

 

Manfaat lain yang boleh diperolehi daripada suka membaca buku juga adalah dapat meningkatkan tahap penulisan kita. Ini sangat penting bagi pelajar-pelajar untuk menulis karangan di sekolah. Bagi mendapatkan sesuatu hasil karya yang banyak muka suratnya dan mempunyai isi yang berkualiti, seseorang itu perlu banyak membelek apa jua genre buku. Lebih banyak buku yang dibaca, lebih lancar penulisan kita kerana idea-idea datang bagai air yang mencurah-curah.

 

Selain itu, empati seseorang juga meningkat hasil daripada amalan bagus ini. Menurut kajian daripada New York University, membaca buku mampu meningkatkan kemampuan kita untuk lebih memahami perasaan orang-orang sekeliling kita. Apabila kita dapat memahami perasaan orang lain, hubungan yang dimiliki akan menjadi lebih baik dan mampu bertahan lama.

Berikut merupakan beberapa tips untuk memupuk minat membaca buku seperti:

 

  • Selalu habiskan masa lapang di perpustakaan.
  • Pilih buku yang mempunyai tajuk dan isi yang berkaitan minat anda.
  • Baca sekurang-kurangnya 5 muka surat sehari sebelum menambah lagi bilangan muka surat buku yang dibaca secara beransur-ansur.
  • Baca buku yang sedang hangat di pasaran.
  • Lepak dengan kawan-kawan yang suka membaca buku.
  • Membaca buku sambil menikmati makanan atau minuman yang digemari seperti makan coklat atau minum kopi.
Spread the love