Posts

Teknik Mengulangkaji Pelajaran

TEKNIK MENGULANGKAJI PELAJARAN
▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄▄

Siapa itu Hermann Ebbinghaus? Beliau merupakan seorang ahli psikologi yang telah melahirkan satu teori yang akan memberikan manfaat kepada mereka yang ingin belajar sesuatu: keluk lupa Ebbinghaus. Namun sebagai permulaan, mari kita berkenalan dengan Teknik Mengulangkaji Pelajaran.

Antara rahsia besar kejayaan pelajar-pelajar cemerlang ialah ulangkaji. Tanyalah dengan rakan-rakan anda yang biasa dapat A, jawapannya sama. Ulangkaji. Mengapa ulangkaji? Jikalau tidak diterangkan pun, anda sudah tahu jawapannya. Semasa guru mengajar dalam kelas, kita macam faham dan ingat apa yang diajar guru ketika itu. Sebenarnya apa yang kita ingat ketika dalam kelas masih bersifat ingatan jangka pendek. Ingatan jangka pendek ini tidak dapat bertahan lama, selepas beberapa jam atau paling lama sehari, maklumat itu akan hilang.

Itulah sebabnya Mengulangkaji menjadi penting, sangat penting. Terlalu penting sehingga menjadi rahsia besar kejayaan seorang pelajar. Sesiapa yang menghargai dan menghayatinya, akan berdepan dengan kejayaan. Sesiapa yang mengabaikannya akan menemui kegagalan.

Mengulangkaji pelajaran bermaksud meneliti semua segala yang telah dipelajari. Meneliti di sini bermaksud melihat semula (mempelajari) perkara-perkara yang telah dipelajari berulangkali dan dari berbagai sudut sehingga benar-benar difahami. Ada empat kata kunci yang anda perlu beri perhatian di sini, iaitu mempelajari semula, berulangkali, berbagai sudut dan benar-benar difahami.

1. Mengulangkaji : MEMPELAJARI SEMULA, maksudnya apa yang guru atau pensyarah ajar dalam kelas, perlu anda pelajari semula, misalnya semak semula nota pensyarah, rujuk dan baca semula topik tersebut, buat nota ringkas dan sebagainya.

2. Mengulangkaji : BERULANGKALI, anda perlu ulang dan ulang, mungkin 4 atau 5 kali atau lebih dengan berbagai cara kerana semakin banyak ulangan maka semakin baik ingatan anda.

3. Mengulangkaji : BERBAGAI SUDUT, buat banyak latihan dan jawab beberapa soalan lepas agar anda dapat melihat topik itu dari berbagai sudut dan kefahaman anda akan menyeluruh.

4. Mengulangkaji : BENAR-BENAR DIFAHAMI, maksudnya selama mana anda belum benar-benar memahami sesuatu topik, maka selama itulah anda perlu meneruskan ulangkaji kerana apabila anda benar-benar memahami, anda akan benar-benar mengingati ( ingatan jangka panjang )

TUJUAN ULANGKAJI

➳ Meningkatkan kefahaman tentang sesuatu topik.

➳ Menguatkan daya ingatan ( memindahkan ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang)

➳ Menambahkan penguasaan semua topik yang telah dipelajari.

➳ Menambahkan maklumat, kemahiran, dan pengalaman baru

➳ Sebagai persiapan peperiksaan.

BAHAN ULANGKAJI

 Nota guru di kelas.

 Buku teks/rujukan.

 Nota ringkas yang disediakan sendiri

 Latihan /tugasan yang diberikan oleh guru.

 Laporan amali/projek/lawatan akademik

 Soalan-soalan peperiksaan lepas

 Bahan tambahan dari surat khabar, majalah, radio, TV dan internet.

MASA ULANGKAJI

 Setiap hari ( masukkan dalam jadual belajar harian)

 Hari Sabtu dan Ahad /Cuti ( tentukan masa)

 Hampir dengan ujian ( sediakan jadual khas )

 

 

TEKNIK ULANGKAJI

✎ Mempelajari semula nota guru.

✎ Membuat nota ringkas seperti peta minda, mnemonik, carta alir dan sebagainya.

✎ Membuat latihan dan tugasan

✎ Latihan menjawab soalan-soalan lepas atau soalan dari buku.

✎ Perbincangan kumpulan dengan rakan

✎ Kelas tambahan/tuisyen

✎ Lawatan dan projek

✎ Uji diri sebelum peperiksaan sebenar.

KELUK KELUPAAN EBBINGHAUS

Sebenarnya kadar ingatan kita mengenai sesuatu perkara akan menurun mengikut hari (masa). Misalnya jika pada hari Isnin kita diajar tentang sesuatu topik dan selepas itu kita tidak membuat sebarang ulangkaji, maka pada hari Jumaat atau Sabtu, kadar ingatan kita tentang topik tersebut hanya tinggal sebanyak 15 – 20 % sahaja. Itulah sebabnya kita perlu membuat ulangkaji setiap hari kerana setiap minggu kita akan berdepan dengan topik baharu. Jika kita mengabaikan Mengulangkaji maka beban akan bertambah dan kita akan bertambah keliru apatah lagi kita belajar pelbagai subjek. Cikgu pesan untuk ingat sesuatu, jangan hanya belajar sekali sahaja. Tetapi bila anda dah lupa, anda tengok kembali maklumat tersebut.