Posts

Bagaimana Mendapatkan Keberkatan Ilmu?

Menuntut ilmu merupakan suatu tuntutan di dalam Agama Islam. Banyak disebutkan di dalam al Quran dan hadis tentang kelebihan yang akan diperoleh bagi mereka yang menuntut ilmu. Begitulah pentingnya bagi kita untuk menuntut ilmu. Ramai dalam kalangan kita yang penuh ilmu di dada dan berjaya dalam hidup.

 

Daripada Abu Darda’r.a berkata : “Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda”

“Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang  yang  ada diseluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikan yang ada dilaut.”

 

Namun apa yang terjadi pada masa kini ialah ramai orang sudah memiliki ilmu, tetapi ilmu itu semakin menjauhkannya daripada Allah dan hilang keberkatan di dalam ilmu yang dimiliki.

 

Bagaimana kita nak dapatkan keberkatan ilmu?

 

Cara –Cara Mendapatkan Keberkatan Ilmu

 

1) Niat Mencari Ilmu Kerana Allah

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar Bin Al-Khattab E.A katanya: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya,

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap seorang orang mendapat pahala berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrah itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin menikahinya, maka hijrah itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

2) Beramal Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Jika kita ingin mengetahui sama ada ilmu yang kita pelajari berkat atau tidak, ukurlah berapa kerap kita beramal dengan ilmu tersebut. Kuranglah keberkatan daripada Allah jika kita kurang mengamalkan ilmu yang sudah dipelajari. Apa guna mempunyai ilmu yang banyak, tetapi tidak mengamalkannya.

 

3) Mengajarkan Ilmu Kepada Orang Lain

Rasulullah pernah bersabda tentang pentingnya untuk mengerjakan ilmu kepada orang lain. Cuba bayangkan orang lain mendapat manfaat hasil daripada ilmu yang telah kita ajarkan? Hati kita pun pasti bertambah senang bukan? Dan pastinya ilmu itu akan memberi keberkatan kepada diri kita hasil mengajar ilmu itu kepada orang lain

 

4) Tidak Sombong Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Penyakit sombong adalah penyakit yang sangat  berbahaya, dalam apa jua hal dan keadaan. Jika ilmu sudah penuh di dada, tidak mustahil untuk seseorang itu merasa riak dan sombong dengan ilmu yang dimilikinya.

 

5) Menjaga Adab Dengan Ilmu

Bukan sahaja ketika makan dan minum, tetapi ilmu juga perlu dijaga adabnya agar ianya diberkati Allah sentiasa. Cara kita menerima ilmu dengan guru kita juga antara menjaga adab dengan ilmu. Antara adab-adab lain yang boleh kita praktikkan ialah duduk dalam keadaan yang beradab dan sopan, memberi fokus dan perhatian dan bersungguh-sungguh dalam mendalami sesebuah ilmu itu. Jika kita jaga adab dengan ilmu, nescaya Allah akan berikan keberkatan ilmu itu di dunia dan akhirat.

 

Kita yang pilih untuk menjadikan sesuatu ilmu itu membawa kita ke jalan yang baik atau buruk.

Bermula dengan niat yang dipasak dan berakhir dengan bagaimana kita menggunakannya.

Semoga bermanfaat.