Posts

KAEDAH-KAEDAH MENGUASAI KARANGAN BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita seperti yang diketahui umum. Bukti daripada sejarah menunjukkan bahawa bahasa ini pernah diterima sebagai lingua franca (bahasa komunikasi utama) pada zaman kesultanan Melayu Melaka ketika abad ke-15. Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas dalam hubungan diplomatik dan bidang perdagangan. Dari pinggir laut sehingga ke seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, Bahasa Melayu telah difahami dan dituturkan oleh setiap orang sebagaimana bahasa Perancis dan Latin di Eropah.

 

Bahasa Melayu telah dimasukkan ke dalam peruntukan Perlembagaan dengan tujuan ia menjadi dasar dalam pendidikan dan pentadbiran negara. Namun, masih ramai orang yang tidak menguasai Bahasa Melayu, termasuk pelajar-pelajar sekolah. Hal ini dapat dilihat jelas apabila hasil penilaian karangan Bahasa Melayu mereka berada di tahap rendah atau tidak memuaskan. Rata-rata pelajar sangat lemah dalam membuat karangan, tidak kira pelajar sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah.

 

Terdapat pelbagai faktor pelajar-pelajar gagal mendapat pencapaian yang tinggi dalam karangan Bahasa Melayu. Salah satu faktornya ialah pencemaran bahasa ini. Ramai anak muda menggunakan bahasa ringkas ketika berkomunikasi dalam mesej di telefon bimbit yang menyebabkan mereka terbawa-bawa penggunaan bahasa ringkas tersebut dalam karangan.

 

Selain itu, pelajar-pelajar juga tidak menguasai pembendaharaan kata apabila mereka sering menggunakan perkataan yang sama dan berulang ketika membuat karangan. Pada mata pembaca, sudah tentu karangan yang mempunyai masalah sedemikian kelihatan membosankan, terlalu biasa dan menunjukkan tahap kematangan mereka dalam menghiasi ayat dengan kata bunga-bungaan masih rendah.

 

Seterusnya, pelajar-pelajar tidak mengikut hukum bahasa yang betul ketika membuat karangan. Faktor ini berlaku apabila karangan mereka didapati mempunyai banyak kesalahan ejaan, ayat yang terlalu panjang, tidak gramatis dan tergantung yang menjadikan maksud yang cuba dibawa tidak sampai kepada pembaca.

 

Faktor lain pelajar-pelajar lemah dalam karangan Bahasa Melayu adalah  kekurangan isi karangan. Mereka sering mengalami kesukaran untuk mencipta idea-idea baharu agar karangan yang dihasilkan menjadi menarik dan seronok untuk dibaca. Faktor ini terjadi disebabkan hobi membaca bahan-bahan ilmiah tidak dijadikan amalan harian mereka, terutama ketika waktu lapang. Waktu-waktu lapang yang ada sering dihabiskan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah seperti menonton televisyen dan berfoya-foya dengan rakan-rakan di pusat membeli-belah.

 

Bagi mengatasi faktor-faktor di atas, pelbagai kaedah boleh dilaksanakan oleh pelajar-pelajar agar pencapaian karangan Bahasa Melayu tidak kekal lagi di tahap yang tidak memberangsangkan. Salah satu kaedah untuk menguasai karangan Bahasa Melayu adalah dengan mendalami tatabahasa. Hal ini penting supaya mereka dapat menentukan ayat yang betul atau salah mengikut peraturan bahasa ketika menulis karangan. Pembaca pula tidak akan mengalami masalah untuk memahami maksud sesuatu ayat yang cuba disampaikan.

 

Pelajar-pelajar hendaklah mendidik diri agar rajin berfikir dan mencipta idea. Idea-idea baharu sangat diperlukan dalam karangan. Disebabkan inilah pelajar-pelajar mesti memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membantu mereka melontarkan isi dengan sokongan fakta-fakta yang betul hasil daripada ilmu yang diperolehi. Pelajar-pelajar juga akan dapat membina huraian yang panjang dan relevan dengan tajuk karangan tanpa ragu-ragu.

 

Membaca dan merujuk Kamus Dewan adalah pilihan terbaik untuk memperbaiki karangan Bahasa Melayu. Selain dapat menambah pembendaharaan kata, pelajar-pelajar juga dapat merujuk bahan bacaan ini jika terdapat perkataan yang tidak diketahui.

 

Akhir sekali, sesuatu perkara tidak akan dapat kita kuasai jika kita tidak melakukannya dengan kerap. Ini bermaksud, jika pelajar-pelajar ingin mendapat hasil karangan yang mantap, mereka hendaklah banyak membuat latihan karangan. Waktu lapang yang ada sangat sesuai digunakan untuk melatih diri membuat karangan yang penuh dengan tatabahasa yang betul dan ayat yang gramatis, termasuk isi yang padu dan terbaik.