Posts

LANGKAH-LANGKAH UNTUK FOKUS KETIKA BELAJAR

Fokus dalam sesuatu perkara yang kita lakukan adalah mesti agar hasil yang kita inginkan tercapai. Namun, untuk fokus adalah perkara yang sukar untuk kebanyakkan orang. Bagi pelajar, tentulah masalah fokus adalah masalah yang kerap dilalui di dalam kelas. Ramai pelajar hanya dapat fokus ketika belajar untuk beberapa minit atau setengah jam pembelajaran sahaja. Selebihnya akan teralih kepada perkara-perkara lain di sekeliling mereka.

 

Itu baru di sekolah. Belum lagi di rumah. Jika di dalam kelas pun sukar hendak fokus ketika guru sedang mengajar, apatah lagi jika belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan. Masa mungkin banyak terbuang dengan berbual kosong bersama rakan-rakan, leka melayan media-media sosial seperti instagram dan facebook, selain menonton video di Youtube.

 

Tidak fokus ketika belajar boleh menjadi punca kegagalan mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Untuk mengatasi ‘mimpi ngeri’ ini, alangkah bagusnya kita muhasabah diri dan dapatkan jalan penyelesaian untuk fokus ketika belajar sebelum terlambat.

 

 

  • Cari teman belajar yang sesuai: Pilih rakan yang lebih bijak daripada anda. Lebih banyak yang rakan anda tahu dan kongsikan dengan anda, lebih banyak ilmu anda perolehi. Jangan pilih rakan yang lebih suka berborak daripada mengadap buku ketika belajar. Paling penting, pilih rakan yang mempunyai kesungguhan untuk belajar.

 

  • Lengkapkan bahan-bahan belajar: pastikan semua alatan seperti pen, pembaris, kalkulator dan sebagainya telah disediakan sebelum memulakan sesi belajar. Jika tidak dilengkapkan awal-awal, ini boleh mendatangkan masalah hilang fokus ketika belajar.

 

  • Cari makanan sampingan yang berkhasiat: Anda boleh belajar sambil makan atau minum sesuatu. Ini akan membantu anda untuk belajar dengan tenang dan seterusnya boleh fokus dengan mudah. Jenis makanan dan minuman yang anda pilih biarlah sesuatu yang berkhasiat seperti kekacang dengan susu atau jus buah.

 

  • Cari tempat belajar yang selesa: Pastikan tempat belajar anda sentiasa bersih, kemas dan cantik. Jika tiada kerusi, belajar di atas lantai dengan berlapikkan tikar pun sudah memadai. Asalkan persikataran anda bebas dengan TV, komputer atau apa jua jenis gajet yang boleh menganggu ketika belajar nanti.

 

  • Pastikan ada waktu rehat: Anda tidak boleh belajar sepanjang masa tanpa berehat langsung. Ini boleh menyebabkan berlakunya stress dan seterusnya menghilangkan keseronokkan untuk belajar. Jangan terlampau tekun belajar tanpa memikirkan dari segi lain iaitu kesihatan diri. Namun, jangan pula mengambil masa lama untuk berehat sehingga hilang semangat untuk belajar.

 

 

  • Postur tubuh ketika belajar: Duduk dengan selesa ketika belajar. Jangan baring, menongkat dagu dengan lengan atau melentokkan kepala di atas meja kerana semua ini akan menyebabkan anda mengantuk dan tertidur.

 

  • Minum air dengan secukupnya: Neuron dan bahagian otak akan beroperasi dengan aktif ketika proses pembelajaran berlaku. Apabila otak hilang air dan oksigen, seseorang itu akan mudah berasa mengantuk dan letih, seterusnya hilang fokus.

 

  • Jangan kurang tidur: jika tubuh tidak dapat rehat yang secukupnya iaitu tidur dalam waktu yang secukupnya, anda akan mudah letih dan mengantuk ketika belajar.

 

  • Beri kata-kata positif kepada diri sendiri: Sentiasa pujuk diri supaya tidak malas dan sentiasa mahu belajar. Ingatkan diri bahawa kejayaan dalam hidup bukan sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Setiap hasil perkara yang kita inginkan perlu dilakukan dengan usaha diri sendiri. Apabila ada semangat dalam diri, anda akan mudah fokus ketika belajar.