Siapakah Guru Yang Terbaik?

Tokoh pendidik yang paling dikagumi sepanjang zaman dengan bermacam-macam kajian berkenaan apa metod yang beliau gunakan dalam pengajarannya. Jawapannya dia lah baginda Nabi Muhammad SAW.

 

Pengkajian ini telah dilakukan baik dari sarjana muslim mahupun bukan muslim sehingga dinyatakan baginda sebagai orang no.1 yang paling berpengaruh di dunia oleh Michael Hart di dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History”.

 

Insyaallah, pertemuan kita pada kali ini bukan lah sahaja untuk kita nak mengenali siapa guru yang terbaik ini tapi yang lebih penting lagi untuk kita nak tahu bagaimana untuk menjadi guru yang terbaik.

 

Syabas saudara/ri yang telah memilih untuk membaca perkongsian ini. Semoga kita semua dikurniakan kefahaman dengan izin Allah swt.

 

Ayat rujukan kita kali ini adalah dari Surah Yaasin: Ayat 17.

ومَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
🍃 Ertinya: dan (para Rasul itu berkata) tidaklah ada (kewajiban) kami kecuali menyampaikan (risalah) dengan penyampaian yang jelas.

 

Daripada ayat ini apa yang kita dapat ambil intipati untuk digunakan dalam pengajaran kita sebagai pendidik? Iaitu lah 2 sektor pengajaran pada kalimah “البلاغ” dan “البلاغ”  .“المببن” merujuk kepada cara penyampaian dan “المبين” merujuk kepada apa yang disampaikan.

 

Pertama sekali, kita nak memahami cara penyampaian yang terbaik (البلاغ). Persoalannya adalah bagaimanakah baginda Nabi Muhammad saw boleh memiliki cara penyampaian tersebut?

 

Agaknya, berapa ramai guru ‘Public Speaker’ yang beliau belajar? Berapa banyak kursus ‘Public Speaking’ yang beliau hadiri? Dan berapa lama pula beliau berlatih menjadi penyampai pada zaman tersebut?

 

Jawapan adalah TIADA. Elemen ini baginda pelajari dari pengalaman pekerjaan beliau semasa kecil iaitu lah dengan mengembala kambing dan berniaga. Hah, biar betul. Apa kaitannya?

 

Kekalkan pembacaan ini dan in sya allah, saya akan ulas hikmah dari pekerjaan tersebut. Soalan, apakah hikmah dari mengembala kambing? Jika kita perhatikan juga di dalam Al-Quran, Nabi Musa AS juga sepertinya ada isu dengan cara penyampaian ini dan beliau mengembala kambing selama 10 tahun.

 

Hikmahnya adalah sifat ‘SABAR’. Sekiranya kita tahu, apakah perangai kebiasaan kambing ini? Jawapannya, degil dan suka melawan. Jadi, dari pekerjaan ini dapat kita fahami bahawa baginda dilatih dari kecil sifat bersabar dan kemahiran mengawal kedegilan kambing yang baginda jaga.

 

Selain itu juga, beliau juga berniaga sejak dari kecil. Biasanya yang kita tahu, beliau mula berniaga umur 12 tahun mengikut pakciknya ke Syam. Ketika berumur 25 tahun, beliau bekerja dengan seorang saudagar kaya dan akhirnya bertemu jodohnya dengan founder tersebut iaitulah Khadijah.

 

Sedarkah kita disebalik pekerjaan ini, ia banyak melatih baginda Nabi Muhammad saw menjadi penyampai yang berkesan. Ringkasnya dengan berniaga ini selain ia adalah sunnah Nabi, ia juga adalah cara untuk menjadi seorang yang berkemahiran pelbagai.

 

Tidaklah ini bermaksud supaya para pendidik mesti menjadi peniaga, tetapi memadai sekadar para pendidik memiliki ciri-ciri ini untuk diaplikasikan dalam penyampaian terhadap anak murid dan audien yang kita nak nasihatkan.

 

Soalan, apakah yang dapat kita gunakan elemen berniaga ini dalam cara penyampaian yang berkesan? Adakah mendidik ini perlu diniagakan? Jawapannya, TIDAK. Tetapi ada 2 faktor dari berniaga yang boleh digunakan dalam pengajaran iaitu faktor persiapan dalaman dan luaran.

 

Persiapan dalaman berdasarkan sirah Nabi berniaga adalah berguru (Abu Thalib). Sebelum nak mendidik, kita lah yang terlebih dahulu perlu dididik. Selain itu juga, pendidik perlu ada peribadi sifat jujur dengan anak murid dan ‘visionary’ dengan strategi pengajaran yang idealistik dan kreatif.

 

Sebagai contoh, baginda Nabi Muhammad saw dalam peristiwa Perang Khandak menampilkan peribadi jujur (ikat 2 biji batu di perut), visionary dengan para sahabat (pembukaan Rom & Konstantinopel) dan kreatif (gali parit).

 

Apapun elemen ini perlukan proses dan jiwa memberi.  Bak kata pepatah omputih “The More You Give, The More You Will Get Back”. Adalah sesuatu yang gila apabila pendidik buat perkara yang sama tapi mengharapkan hasil yang berbeza.

 

Manakala, dari sudut faktor persiapan luaran pula adalah komunikasi. Para pendidik perlu faham dan bertanya anak murid isu mereka serta ajarkan mengikut keperluan mereka. Ini adalah sebagai simbol hargai mereka. Bagaimana untuk kita dihargai jika kita tidak menghargai?

 

Selain itu, para pendidik juga perlu bijak negotiate dengan anak murid. Negotiate dengan mereka juga perlu ada elemen ‘win-win situation’. Ini penting bagi memastikan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) kita dapat berjalan dengan jaya dan lancar.

 

Rumusannya, faham lah kita bahawa mengembala kambing melatih nabi menghadapi kedegilan Arab Kafir Quraisy dan berniaga melatih nabi untuk menyampaikan ajaran Islam dengan berhemah untuk disebar-luaskan ke seluruh pelusuk dunia.

 

Dari sini maka jelaslah kita bahawa perjalanan hidup Nabi Muhammad saw bukan lah sekadar untuk kita tahu, tapi ia untuk kita amalkan mesej tersebut dalam kehidupan kita terutamanya dari sudut kita sebagai pendidik.

 

Kedua, kita nak memahami apa isi penyampaian yang terbaik (المبين). In sya allah, saya akan permudahkan huraiannya agar ia lebih mudah untuk difahami.

 

Isi penyampaian yang terbaik adalah berdasarkan sudut pandang kita iaitu lah atas, depan dan belakang. Atas merujuk kepada dari sumber wahyu (Al-Quran & Hadith), depan merujuk kepada dari sumber ilmu masa depan (sains & teknologi) dan belakang merujuk kepada sumber sejarah.

 

Akal yang tuhan kurniakan adalah untuk berfikir. Maka, dengan sebab itu ilmu untuk disampaikan juga perlulah bukan sahaja berkisarkan mengenai ‘apa ilmunya’ tetapi berkisarkan mengenai ‘kenapa mesti belajar ilmunya’. Sebab ini lah metod yang digunakan oleh Guru Yang Terbaik, Nabi Muhammad saw.

 

Pengajaran ini jika diperhatikan sangat berkaitrapat dengan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21) iaitulah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Science, Technology, Engineering & Mathematic (STEM). Lebih-lebih lagi di zaman Revolusi Perindustrian 4.0 yang penuh mencabar ini.

 

Sebagai kesimpulan, walaupun Nabi Muhammad saw merupakan seorang rasul tetapi jangan kita lupa beliau juga masih seorang manusia yang sama seperti kita. Ini memudahkan proses untuk kita berjaya mendidik dengan mencontohi dan mengikuti kaedah yang diamalkan oleh baginda.

 

Benar lah, ajaran Islam tidak terhad belajar ilmu agama sahaja tetapi perlulah diintegrasikan juga dengan ilmu-ilmu yang lain supaya Islam tidak dilihat rigid bahkan menampakkan bahawa ia fleksibel untuk semua golongan dan lapisan masyarakat.

 

Semoga kita diberikan hidayah dan petunjuk dari kehidupan Nabi Muhammad saw mengikut panduan wahyu Al-Quran.

 

Sekian sahaja dari saya, diharapkan ia bermanfaat dan berjumpa lagi kita di penulisan artikel yang akan datang dengan perkongsian berpandukan perspektif ajaran Al-Quran. In sya allah ..

 

 

Sheikh Sulaiman Bin Sheik Harun

Founder Modul “Mudahnya Faham Al-Quran”

Manager CMN Academy HomeTuition Ampang

Spread the love
  • 6
    Shares