PUNCA DAN CARA ATASI MASALAH ANAK MALAS BELAJAR

“Anak saya asyik bermain sahaja. Liat betul bila disuruh belajar!”

 

“Sudah dirotan pun sama sahaja sikapnya. Tetap malas mengadap buku. Dia lebih suka mengadap televisyen.”

 

“Nasihat tak berkesan langsung. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Saya pun buntu. Tak tahu apa yang perlu dilakukan lagi.”

 

Bermacam luahan yang diterima daripada ibu bapa tentang masalah anak yang malas belajar. Masalah ini terjadi bukan sahaja kepada anak yang bersekolah rendah, tetapi juga yang sudah pun memasuki persekolahan menengah. Ibu bapa yang melalui situasi begini tentunya sering jadi stress, bukan?

Antara punca anak malas belajar ialah:

 

  • Sebelah pihak sahaja yang mengambil berat tentang aktiviti seharian anak. Jika si ibu suka berleter di rumah tentang rekod pencapaian akademik anak, si bapa pula sibuk lepak dengan kawan-kawannya di kedai kopi.
  • Jangan lakukan perbandingan tahap pencapaian akademik anak dengan adik-beradiknya yang lain. Hal ini akan menyebabkan anak semakin lama semakin malas untuk mengubah tahap prestasi dirinya dan mungkin juga akan benci untuk belajar lagi.
  • Jangan benarkan anak bermain dan menonton televisyen dalam tempoh yang lama, termasuk menggunakan komputer riba atau telefon bimbit.
  • Cepat marah dan melenting apabila anak melakukan kesilapan. Jika ini sering  berlaku ketika ibu bapa sedang mengajar anak tentang sesuatu topik pembelajaran, anak tentunya tidak akan dapat fokus dan hanya akan rasa takut sepanjang belajar.
  • Teragak-agak membelikan anak buku yang disukainya di kedai buku, sedangkan si ibu tidak kisah membeli banyak novel cinta kesukaannya.
  • Sering memberi ugutan dan membuat hukuman untuk merotan anak setiap kali anak melakukan kesalahan dalam membuat latihan akademiknya.
  • Anak mungkin tidak minat akademik, tetapi cenderung kepada sukan atau kemahiran tertentu.
  • Kerja sekolah yang diterima anak terlalu banyak dan ibu bapa pula sering mengelak memberi alasan untuk tidak membantu anak menyiapkan kerja sekolahnya.
  • Anak mungkin mengalami masalah penglihatan atau pendengaran.

 

Antara cara atasi masalah anak malas belajar ialah:

 

  • Luangkan masa dengan anak ketika anak sedang membaca buku. Jangan melakukan kerja lain, sebaliknya membacalah sesuatu pada masa yang sama.
  • Sentiasa bersabar ketika mengajar anak. Jangan mudah melenting setiap kali anak melakukan sebarang kesilapan. Jangan maki anak atas kelemahannya dalam sesuatu subjek.
  • Cipta suasana belajar yang menyeronokkan. Jangan mengajar anak dengan memberi ugutan untuk menimbulkan ketakutan kepada anak supaya anak belajar.
  • Lindungi anak daripada sesuatu yang boleh menyebabkan fokusnya terganggu. Sebagai contohnya, jika si anak seorang yang fanatik game, jauhkan gajet daripada tangan anak dan hanya memberikan peluang untuknya bermain game selepas tamat waktu belajar.
  • Rewardanak berdasarkan tahap pencapaiannya. Jika anak pertama mendapat markah tertinggi dan anak kedua mendapat markah rendah, reward anak pertama mungkin lebih. Jelaskan kepada anak kedua sebabnya dan nasihat anak itu untuk berusaha lagi pada masa akan datang. Ini lebih baik daripada ibu bapa membuat perbandingan tahap pencapaian akademik anak dengan adik-beradiknya yang lain.
  • Jangan remehkan kelebihan anak. Berikan sokongan dan bantu anak dengan memberikan tunjuk ajar walaupun sedikit. Reaksi positif daripada ibu bapa tentunya akan menjadikan anak lebih bersemangat untuk belajar.
  • Jangan mengambil-alih menyiapkan kerja sekolah anak, walaupun banyak. Kasih sayang yang ditunjukkan harus berpada-pada. Dalam hal ini, ibu bapa hendaklah duduk bersama dan memberikan tunjuk ajar sahaja ketika anak menyiapkan kerja sekolahnya.
  • Perkenalkan anak tentang individu-individu yang telah berjaya yang boleh menjadi contoh ikutannya. Ibu bapa perlu bijak dalam memilih contoh ikutan yang seterusnya boleh menjadi idola anak sebagai perangsang untuk anak mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

 

Ayuh, ibu bapa! Jangan berputus asa. Sentiasa berusaha dan berdoa supaya ada perubahan positif pada diri anak-anak kita. Kelak anak-anak kita akan berjaya pada suatu hari nanti.

Spread the love
  • 2
    Shares