MENJADIKAN KELAS MENGAJI YANG BUKAN SEKADAR MENGAJI

Kelas mengaji adalah merupakan kelas yang begitu tinggi martabatnya disebabkan ketikamana kita membacanya kita sedang berinteraksi dengan buku manual yang terbaik di dunia yang mengatasi semua buku-buku yang ditulis oleh manusia selama ini.

Definisi buku yang kita bacakan ini ialah sebuah buku yang diturunkan bermula dalam bulan yang TERBAIK (bulan Ramadhan) pada orang yang TERBAIK (Nabi Muhammad SAW), melalui perantaraan malaikat yang TERBAIK (malaikat Jibril) dalam tempoh yang tidak sekejap (23 tahun) yang bukan sahaja berhasil menjadi panduan orang yang beriman bahkan ia merawat perilaku masyarakat yang rosak.

Selain itu juga, buku ini diturunkan dalam pelbagai emosi dan perasaan. Adakalanya umat Islam ditindas, adakalanya umat Islam diugut, adakalanya umat Islam disiksa, adakalanya umat Islam berjuang, sebagai berita gembira mahupun sebagai ancaman untuk peringatan hingga hari kiamat.

Justeru, amatlah begitu malang sekali sekiranya kelas mengaji ini dijadikan hanya sebagai kelas mengeja huruf, membaca tulisan Arab, berkenalan dengan guru mengaji dan mengalunkan bacaan dengan irama yang mengasyikkan.

Apa yang saya mahu kongsikan pada artikel kali ini ialah berkenaan tips bagaimana kita mahu berinteraksi dengan Al-Quran ketika dalam kelas mengaji. Mudah-mudahan para pembaca artikel ini dapat melihat Al-Quran selepas ini dari dimensi yang lebih baik, in sya allah …

Firman Allah swt dalam surah Yunus: ayat 57 yang bermaksud “wahai sekalian manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi NASIHAT PENGAJARAN dari Tuhan kamu, yang menjadi PENAWAR bagi penyakit dalaman yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi HIDAYAH (petunjuk) serta membawa RAHMAT bagi orang yang beriman.”

Secara ringkasnya, apa yang saya mahu kongsikan pada kali ini ialah 4 cara Al-Quran berfungsi dalam kehidupan kita iaitu sebagai Nasihat, Penawar, Hidayah dan Rahmat. Harapan saya semoga selepas ini dalam setiap kelas mengaji, dapatlah kita usahakan supaya dapat mengetengahkan 4 elemen ini dalam pengajaran dan pembelajaran kita, in sya allah.

Unsur pertama ialah Al-Quran sebagai NASIHAT. Saudara-saudari sekalian, pernah tak kita mendapat nasihat dari sesiapa dalam hidup kita. Sebab apa ya kita mendapat nasihat? Ya, sudah pasti kita dinasihati supaya dapat menjadikan kita insan yang lebih baik.
Bayangkan suatu nasihat dan peringatan yang dinukilkan dan dijamin ‘valid’ digunakan dan dimanfaatkan sehingga hari kiamat. Kitab apa ni? Sejak lebih dari 1440 tahun nasihat tu wujud, nasihat kepada suami, isteri, ibu, ayah, anak, adik-beradik, guru, pemimpin, hartawan dan sebagainya.

Unsur yang kedua ialah Al-Quran sebagai PENAWAR. Perlu difahami di sini bahawa ini 4 elemen yang mengikut peringkat demi peringkat. Saudara-saudari sekalian, pernah ke kita mengalami dalam hidup ini tertekan (stress), ‘depress’, sedih, putus asa, cemburu lihat orang lain dan sebagainya?

Segala jawapan apa yang kita rasa itu ada jawapannya di dalam Al-Quran. Siapa lagi yang boleh merawat penyakit ini kalau bukan dari yang Maha Menyelesaikan? Tuhan tidak memberi ujian melainkan kita mampu dan supaya kita dinaikkan darjat disisinya.

Unsur yang ketiga ialah Al-Quran sebagai HIDAYAH (petunjuk). Saudara-saudari sekalian, bayangkan kita sedang memandu melalui jalan raya yang gelap tanpa lampu di sepanjang jalan. Pada waktu tersebut, apa yang kita perlukan? Ya, lampu jalan sebagai penyuluh kita menuju destinasi.

Begitu lah juga, Al-Quran itu berfungsi sebagai satu-satunya cahaya yang akan menerangi kita di kala berada dalam kegelapan (kesesatan). Al-Quran tidak pernah salah dalam perintah suruhannya, yang ada kepada kita ialah salah-faham.

Unsur yang terakhir ialah sebagai RAHMAT kepada orang yang beriman. Sesudah benar-benar kita menjadikan kitab ini sebagai nasihat dalam hidup, penawar kepada masalah, petunjuk dalam kesesatan, baru lah akan dapat kita merasai Rahmat dalam hidup kita.

Ini adalah fungsi yang tertinggi dari Al-Quran kepada kita. Sebagai contoh Ashabul Kahfi, sekumpulan pemuda yang melarikan diri ke gua demi menyelamatkan dari pemerintah yang zalim. Dan apa yang didoakan oleh mereka? Memohon Rahmat supaya mereka mendapat bimbingan.

Pelbagai lagi doa-doa yang wujud dalam Al-Quran yang difirmankan-Nya. Menunjukkan kepada kita jangan meremehkan ‘Kuasa Doa’ ini. Dan sebaik-baik doa adalah memohon Rahmat dari Yang Maha memberi Rahmat.

Justeru, jika keempat-empat elemen ini dapat diaplikasikan dalam kelas mengaji pasti in sya allah, masalah sosial semasa yang membimbangkan sekarang dapat diperbaiki dan dirawat dengan metod yang betul. Ia memenuhi elemen keperluan manusia iaitu NASIHAT (Intelektual), PENAWAR (Emosi), PETUNJUK (Fizikal) dan RAHMAT (Spiritual).

Semoga dengan sedikit perkongsian ini, dapatlah sedikit sebanyak menjentik pemikiran kita terhadap cara pandang kitab Al-Quran ini. Diharapkan ia bermanfaat dan dapat menjadikan kita ejen-ejen pembawa Al-Quran kepada masyarakat dengan lebih baik.

Sekian dari saya, semoga berjumpa di lain masa dengan topik yang berbeza berpandukan cara pandang menurut Al-Quran. Dan doa saya semoga kita semua beroleh Rahmat dari-Nya sepanjang hidup kita ini.. Ameen ya rabb..

 

Sheikh Sulaiman Bin Sheik Harun
Founder modul “Mudahnya Faham Al-Quran”
Manager CMN Academy Ampang

Spread the love