Mengapa 17 Ramadhan Dipilih Sebagai Tarikh Nuzul Quran

17 Ramadan akan tiba dan seluruh negara akan bercuti meraikan peristiwa Nuzul Quran (tanggal Al-Quran diturunkan). Dalam blog kali ini, saya ingin bercerita tentang peristiwa Nuzul Quran dan mengapa 17 Ramadan dipilih sebagai tarikh sambutan Nuzul Al-Quran.

Peristiwa Nuzul Quran merupakan peristiwa berlakunya penurunan ayat al-quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW dan secara berperingkat sehingga lengkap seperti mana Al-Quran yang kita baca pada hari ini.

Ianya berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan bersamaan 6 Ogos 610 M, tahun ke-41 keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW. Ketika sedang beribadat di Gua Hira’, baginda saw didatangi Jibril lalu diwahyukan 5 ayat pertama daripada surah al-‘Alaq.

17 Ramadhan dipilih sebagai tarikh sambutan Nuzul Quran kerana berdasarkan suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada Rasulullah SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadan. 

Ibn Ishaq juga berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadan. Allah Azza Wajalla berfirman ( maksudnya ): Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza ( antara yang haq dan yang batil ).

Dan Allah Ta’ala berfirman ( maksudnya ): Sesungguhnya Kami menurunkannya ( Al-Qur’an ) pada malam al-Qadr. Dan Allah berfirman ( maksudnya ): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah ( yang dimaksudkan) pertemuan(peperangan ) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr.

Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu ( memerangi) golongan musyrikin dalam peperangan badar pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadan.

Maka jelaslah disini bahawa 17 Ramadhan adalah tarikh peristiwa Nuzul Quran.

Apa yang lebih pasti adalah, Allah s.w.t melalui Nabi Muhammad s.a.w menyeru kaum muslimin untuk mengejar lailatul-qadar iaitu sebuah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Perkara ini adalah lebih penting untuk kita sama-sama kejar dan rebut sebaik mungkin, selagi masih diberi peluang untuk hidup diatas muka bumi ini.

Moga Ramadhan kali ini menjadikan kita benar-benar diampunkan oleh Allah s.w.t sekaligus tergolong di dalam hamba-Nya yang bertaqwa dan berjaya memburu lailatul-qadar. Allahuma Amiin.

Wallahua’lam.

 

Spread the love