Masih Keliru Dengan Keperluan STEM & PAK-21 Dalam Pembelajaran?

STEM dalam PAK21

STEM dan PAK21 merupakan akronim yang sangat popular dalam pendidikan di Malaysia pada masa ini. Ada yang menerimanya secara positif untuk memastikan anak-anak Malaysia meningkat maju setaraf dengan anak-anak di negara maju. Tak kurang juga yang mempersoalkan kewajaran kita terlalu mengikut trend dunia sehingga terlalu membebankan anak-anak dan guru. Ibu bapa pula ramai yang masih keliru dan hanya menggunakan keputusan peperiksaan sebagai satu-satunya kayu ukur kemenjadian anak mereka hasil pembelajaran di sekolah.

Melalui aktiviti dalam PAK21, murid dilatih untuk berfikir secara kritikal, kreatif, berkolaborasi dan berkomunikasi. Pembelajaran bersepadu STEM pula bermaksud penyepaduan elemen sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi dalam PdP yang menggunakan konteks dunia sebenar dan pendekatan hands-on.

Bagi kebanyakan guru, tugas melaksanakan pembelajaran bersepadu STEM dalam PAK21 bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi, terdapat terlalu banyak topik yang perlu diajar dalam masa yang terhad.

STEM perlu dilihat sebagai satu cara untuk mengayakan kurikulum. Mulakan dengan aktiviti yang mudah terlebih dahulu untuk menerapkan elemen PAK21 seperti kolaborasi dan komunikasi. Peruntukan setengah jam seminggu untuk aktiviti STEM. Contohnya Cabaran Marshmallow untuk membentuk kolaborasi dalam kalangan murid. Dalam aktiviti ini, murid diberikan satu marshmallow, beberapa batang spaghetti, sedikit pita pelekat dan tali. Mereka diminta bekerjasama dalam satu pasukan yang terdiri daripada 2-4 murid untuk membina menara yang paling tinggi yang puncaknya adalah marshmallow. Setiap kumpulan diberikan 15 minit untuk menyiapkan cabaran ini.

Pada akhir aktiviti, guru berbincang dengan murid tentang bagaimana ahli kumpulan berkomunikasi, strategi yang digunakan dan bagaimana mereka boleh menambah baik menara yang dibina dalam aktiviti seterusnya.

Aktiviti STEM ini membantu murid memahami bahawa kerjasama dalam pasukan dan komunikasi adalah kemahiran dunia sebenar yang penting dan perlu dikuasai. Melalui aktiviti seperti ini murid sedar bahawa terdapat pelbagai cara dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Cabaran STEM mini seperti ini dapat membina asas untuk murid menjadi pemikir yang lebih baik (better thinker). Terdapat pelbagai cara lain untuk menyepadukan STEM dalam PAK21. Sebagai contoh, dalam topik berkaitan elektrik, murid diminta bekerja dalam kumpulan untuk membina lampu suluh dengan menggunakan pengetahuan tentang litar, bateri, suis dan mentol.

Mereka bermula dengan mendapatkan maklumat lanjut melalui pembacaan (elemen bacaan, bahasa) dan kemudian melakar model lampu suluh berdasarkan skala (math, seni) dan kemudian membina lampu suluh sebenar (sains, teknologi). Seterusnya mereka diminta menerangkan kenapa lampu suluh mereka lebih baik daripada lampu suluh dalam pasaran dan menjawab sebarang persoalan yang timbul.

Aktiviti ini dapat menunjukkan dengan jelas bagaimana pembelajaran bersepadu STEM dijalankan dan bagaimana ia membentuk kemahiran PAK21 dalam kalangan murid.
Maklumat lebih lanjut terdapat pada link ini.

https://teacher-blog.education.com/integrating-stem-into-the-21st-century-classroom-7c0e764ff59

Dr Ihsan Ismail

Ketua Unit Latihan

Pusat STEM Negara

#PendidikanMenerusiPenerokaan

Spread the love