Kenapa Perlu Laksanakan Pembelajaran STEM Secara Inkuri?

Kenapa perlu laksanakan PdP berasaskan inkuiri

Kita berada dalam era IR4.0 dan landskap ekonomi dunia baharu. Pekerjaan dalam era ini kebanyakan akan dibuat oleh mesin atau robot. Anak-anak kita akan bekerja bersama-sama mesin dan robot.

Antara pekerjaan utama dalam era ini adalah data analyst and scientist dan AI and machine learning specialist. Untuk itu, murid perlu mempunyai pemikiran analitikal, kritis, kreatif dan inovatif.

Kaedah yang digunakan sekarang iaitu menghabiskan silibus secepat mungkin dan buat latih tubi tidak membantu murid mendapat kemahiran tersebut.

Kaedah ini membolehkan sebahagian murid menjawab soalan peperiksaan tetapi mereka tidak perlu berfikir secara analitikal, kritis dan kreatif. Guru-guru bekerja keras mengajar, menyediakan bahan dan memikirkan cara terbaik untuk murid menjawab soalan peperiksaan.

Hasilnya guru-guru boleh berfikir secara analitikal, kritis dan kreatif tetapi murid tidak mendapat kemahiran tersebut.

Pendidikan mestilah berasaskan inkuiri, berfokuskan proses dan berpusatkan murid. Pendekatan inkuiri secara hands-on dan minds-on akan memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara analitikal, kreatif dan inovatif serta berkolaborasi dan berkomunikasi. Ini adalah asas kepada Pendidikan Abad ke-21 (PAK21).

3 elemen penting dalam PdP secara inkuiri adalah persoalan, prosedur dan kesimpulan. Terdapat 4 tahap inkuiri iaitu pengesahan, berstruktur, terbimbing dan terbuka. Pada tahap inkuiri pengesahan, guru memberikan persoalan, prosedur dan kesimpulan. Murid hanya melakukan aktiviti untuk mengesahkan apa yang diberikan oleh guru. Yang penting murid buat aktiviti dan belajar daripada aktiviti tersebut.

 

Pada tahap inkuiri berstruktur, guru memberikan persoalan dan prosedur manakala murid membuat kesimpulan selepas menjalankan aktiviti berdasarkan prosedur yang diberikan. Seterusnya pada tahap inkuiri terbimbing, guru hanya memberikan persoalan manakala murid melaksanakan aktiviti menggunakan prosedur saintifik yang mereka tentukan sendiri dan seterusnya membuat kesimpulan sendiri. Akhir sekali, pada tahap inkuiri terbuka, murid sendiri yang menentukan persoalan dan prosedur dan seterusnya membuat kesimpulan sendiri.

Dalam PdP berasaskan inkuiri, guru-guru disaran menggunakan modul 5E (Engage, Explore, Explain, Elaborate dan Evaluate). Dalam fasa Engage akan timbul persoalan yang akan disiasat menggunakan prosedur saintitik dalam fasa Explore dan kemudian membuat kesimpulan dan penerangan dalam fasa Explain. Selepas murid memahami sesuatu konsep, mereka diminta mengaplikasikan konsep tersebut dalam situasi berbeza semasa fasa Elaborate. Evaluate boleh berlaku secara formatif pada setiap fasa dan secara sumatif selepas selesai sesi pembelajaran.

PdP berasaskan inkuiri dengan elemen hands-on dan minds-on dalam konteks dunia sebenar akan membantu murid mendapat kemahiran yang mereka perlukan dalam kehidupan mereka. Kita wajib memastikan murid mendapat kemahiran tersebut.

#meaningfullearning
#learningthroughinquiry
#inquiryinspiresdiscoveries

Dr Ihsan Ismail (Ketua Pusat STEM Negara)

Spread the love
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − 5 =