Kelebihan Pembelajaran Secara Home Tuition
Dunia semakin pantas beredar, begitu juga dengan dunia pendidikan. Perubahan yang berlaku ini sedikit sebanyak memperkembangkan dunia tuisyen seiringan bersamanya. Ini menjadikan peranan tuisyen sangat penting dalam membantu arus pendidikan.
Tuisyen boleh didefinisikan secara umum sebagai kelas bimbingan yang biasanya dijalankan di luar dari waktu pembelajaran formal. Cabang dalam dunia tuisyen ini pula banyak sekali seperti kelas tuisyen di sekolah, kelas tuisyen di rumah, kelas tuisyen berbayar, kelas tuisyen komersial, kelas tuisyen percuma dan sebagainya.
Kelas tuisyen di rumah atau lebih popular dipanggil sebagai home tuition bermaksud kelas tuisyen yang dijalankan di rumah, samada di rumah pelajar mahupun di rumah guru. Konsep asasnya adalah melibatkan bimbingan secara persendirian. Perbezaan ketara yang dapat kita perhatikan antara kelas tuisyen dan home tuition adalah dari segi perlaksanaan dan juga bilangan pelajar yang terlibat.
Berikut merupakan beberapa kelebihan pembelajaran secara home tuition yang boleh kita sebagai ibu bapa pertimbangkan dalam memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang terbaik.
Bimbingan Berfokuskan Individu
Proses pembelajaran ini berfokuskan individu yang akan membantu mengukuhkan pemahaman pelajar dengan lebih baik. Ini berbeza jika pembelajaran dilakukan secara umum dan dalam kumpulan bilangan pelajar yang agak ramai.
Biasanya, guru tuisyen akan menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengenalpasti kebolehan dan kelemahan pelajar memandangkan setiap pelajar mempunyai pemahaman yang berbeza antara satu sama lain. Hal ini mudah untuk dilakukan kerana bilangan pelajar yang tidak ramai dalam satu masa.
Membantu Meningkatkan Keyakinan Dalam Diri Anak-Anak
Apabila anak-anak kita dibimbing mengikut kemampuan diri, ia bukan sahaja dapat membantu mereka memahami apa yang dipelajari malahan juga dapat membantu membina keyakinan dalam diri mereka. Ini berlaku kerana semasa proses pembelajaran berjalan, mereka tidak perlu ada rasa malu pabila tidak menguasai sesuatu topik dan tidak perlu merasa rendah diri seperti mana jika belajar di dalam kelas atau di dalam kumpulan yang ramai.
Ibu Bapa Dapat Memantau Anak Dengan Lebih Mudah
Home tuition dapat membantu meringankan ibu bapa dalam pelbagai aspek. Paling utama ibu bapa dapat memantau dengan lebih dekat bagaimana proses pembelajaran anak mereka berlaku. Hasil yang mereka laburkan dapat mereka nilai sendiri sama ada ia berbaloi atau sebaliknya. Keadaan agak berbeza apabila mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen, mereka tidak dapat mengukur sejauhmana pelaburan mereka berbaloi kerana proses tersebut tidak berlaku di depan mata mereka.
Menjimatkan Kos
Ibu bapa juga boleh menjimatkan kos pengangkutan mereka. Jika menggunakan khidmat pusat tuisyen, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak setiap masa dan semestinya ini memakan kos yang tinggi, tambahan pula jika pusat tuisyen berkenaan jauh dari tempat kediaman. Jika menggunakan perkhidmatan home tuition, guru yang akan datang ke rumah tanpa perlu memeningkan kepala ibu bapa untuk pergi ke pusat tuisyen.
Menjimatkan Masa
Zaman yang kian pantas beredar menyebabkan ibu bapa sering berkejaran dengan masa. Hal ini dapat membantu meringankan ibu bapa kerana tidak perlu meluangkan masa untuk keluar menghantar dan mengambil anak-anak. Selain itu masa yang ditetapkan juga lebih fleksibel dan boleh mengikut keperluan ibu bapa. Hal ini dapat membantu mengurangkan tekanan dari segi masa yang dihadapi oleh ibu bapa. Jika ada hal yang penting, ia dapat diubah suai mengikut kesesuaian ibu bapa hanya melalui perbincangan dengan guru tuisyen berkenaan.
Leave a Reply
Want to join the discussion?Feel free to contribute!