Kebaikan kelas tuisyen kepada pelajar sekolah

 

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pusat tuisyen di negara ini bertambah dengan pesat bagai, cendawan tumbuh selepas hujan. Sejak kebelakangan ini, kelas tuisyen sudah menjadi sebahagian daripada budaya warga pelajar kita. Seseorang pelajar mengganggap dirinya tidak lengkap tanpa menghadiri kelas tuisyen. Dengan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan pusat tuisyen merupakan sekolah kedua untuk para pelajar pada hari ini.

Dengan menghadiri kelas tuisyen, para pelajar mempersiapkan diri mereka ke arah peperiksaan. Hal ini demikian kerana mereka mendapat bimbingan intensif bagi setiap mata pelajaran daripada guru-guru tuisyen. Guru-guru tuisyen dapat memberikan tumpuan yang lebih dan mengukuhkan pemahaman para pelajar kerana bilangan pelajar di dalam kelas tuisyen adalah kecil. Oleh itu, guru tuisyen mudah untuk menyelesaikan masalah dan kekaburan yang dihadapi oleh pelajar.

Selain itu, pelajar sekolah sekarang sering dibebankan dengan pelbagai tugasan seperti folio dan kerja kursus sehingga mereka tidak sempat untuk mengulang kaji pelajaran. Pelajar-pelajar sewajarnya membuat ulang kaji secara konsisten untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Jadi, kelas tuisyen dapat memberikan peluang untuk para pelajar menelaah pelajaran. Mereka juga dibimbing menerusi kaedah latih tubi bagi membiasakan diri dengan bentuk soalan peperiksaan sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

Sebagai kesimpulan, kewujudan pusat tuisyen lebih  banyak mendatangkan manfaat kepada para pelajar. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pusat tuisyen di negara kita harus dipantau oleh pihak berkuasa dari masa ke masa agar mutu pengajaran serta bimbingan selaras dengan matlamat untuk melahirkan pelajar cemerlang.

Spread the love