Kebaikan Internet dalam Kalangan Masyarakat

 

Pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa had ini, internet menjadi perkara penting dalam kehidupan kita. Internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan salah satu saluran rangkaian perhubungan dunia yang telah mengecilkan dunia selain televisyen. Ianya juga memberi banyak kebaikan kepada masyarakat kerana penggunaannya yang meluas dan maklumat tanpa sempadan. Semua perkara dapat dilakukan dengan adanya internet. Masyarakat tidak terlepas dari merasai bahang internet dengan capaian berita dengan cepat dan pantas serta dari mana-mana sahaja mahupun luar negara atau dalam negara. Masyarakat perlulah menggunakannya dengan sebaik mungkin dan elakkan diri daripada menjadi katak di bawah tempurung.

Pertamanya, kegunaan internet yang utama adalah mencari dan mengumpul maklumat dalam masa yang singkat. Internet sememangnya membolehkan kita mencari maklumat dalam masa yang singkat. Sama ada kita mencari dengan menggunakan telefon pintar atau komputer, hanya ada satu keperluan yang membolehkan kita melayari internet iaitu hubungan internet. Pada zaman ini, perkara ini menjadi satu kewajipan sehingga pada tahap remaja. Mereka sudah giat menggunakannya untuk berhubung dengan kawan-kawan mereka. Remaja juga boleh mencari maklumat untuk menyiapkan kerja sekolah mereka. Internet juga merupakan perkara yang ‘mesti ada’ dalam kalangan orang yang bekerja. Ianya memudahkan pencarian dan pengumpulan maklumat kepada sesiapa yang menggunakannya.

Seterusnya, internet dapat berkomunikasi di antara jarak jauh dan jarak dekat malah merentasi lautan seantero dunia. Internet memudahkan perhubungan kita dengan saudara mara kita yang jauh. Kemudahan perhubungan internet seperti ‘Facebook’, ‘Twiter’, ’email’ dan lain-lain dapat menghubungkan kita dengan seseorang di mana-mana sahaja. Berikutan itu, dengan adanya kemudahan internet, keselamatan juga terjamin. Tamsilnya, ibu bapa yang menghantar anaknya untuk belajar di luar negara selalu berhubung menggunakan perkhidmatan ‘skype’. Ibu bapa boleh berhubung dengan anak malah boleh melihat wajah mereka juga. Internet amat penting bagi mengekalkan hubungan yang erat kerana air dicincang tidak akan putus.

Selain itu, internet membenarkan ibu bapa mendapatkan keputusan peperiksaan anak-anak secara cepat dan berkesan. Ibu bapa sibuk dengan pekerjaan masing-masing sehingga tidak mempunyai masa untuk melihat prestasi anak-anak di sekolah. Ibu bapa haruslah mengetahui pencapaian anak dalam pelajaran supaya kebajikan mereka tidak terabai dan mereka akan rasa disayangi oleh ibu bapa yang sibuk mencari duit untuk menampung perbelanjaan seharian. Internet boleh membaiki perkara berikut dengan mewujudkan sebuah laman web khas untuk mengetahui rekod pencapaian anak di sekolah. Tamsilnya, laman web SAPS disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan ibu bapa menyemak keputusan peperiksaan anak secara atas talian.

Selanjutnya, kebaikan internet juga adalah memudahkan urusan pembelian barang sekali gus menjimatkan masa, tenaga dan kos. Masyarakat sekarang semakin sibuk dengan rutin harian mereka iaitu bekerja untuk mencari rezeki supaya dapat mengurangkan beban inflasi yang meningkat pada kebelakangan ini. Lanjutan daripada isi sebelumnya, kebanyakan masyarakat tiada masa untuk meluangkan sedikit masa untuk beriadah. Internet memberi jalan lain yang memudahkan kehidupan masyarakat dengan prasarana dan kemudahan-kemudahan lain. Bagi seseorang yang tidak mempunyai masa untuk beriadah atau membuat urusan lain, Internet boleh memudahkan urusan pembelian barang terutamanya barang runcit.

Kesimpulannya, penggunaan internet sememangnya jelas memberikan seribu satu faedah atau manfaat kepada kita. Oleh itu, sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, kita perlulah memanfaatkan penggunaan internet dalam menimba ilmu pengetahuan khasnya. Dalam era serba moden ini, kita janganlah ketinggalan umpama katak bawah tempurung kerana penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang.

 

 

Spread the love