FUNTASTIC KBAT STEM : KEMAHIRAN SAINTIFIK
Kemahiran saintifik merupakan kemahiran yang penting untuk menjalankan sebarang aktiviti mengikut kaedah saintifik. Kaedah seperti eksperimen, penyelidikan dan projek merupakan aktiviti yang menggunakan kemahiran saintifik. Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.
Kemahiran Proses Sains
Kemahiran proses sains ialah kemahiran yang membolehkan murid mempersoalkan sesuatu dan mencari jawapan secara bersistem. Kemahiran proses ini terdiri daripada kemahiran yang mudah kepada yang kompleks.
Terdapat 11 Elemen Kemahiran Proses Sains antaranya ialah :
- MemerhatikanMenggunakan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa atau bau untuk mengumpulkan maklumat tentang objek atau fenomena.
- Mengelaskan
Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing- masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat. Pengumpulan ini adalah berdasarkan ciri atau sifat sepunya.
- Mengukur dan menggunakan nombor
Membuat pemerhatian secara kuantitatif dengan menggunakan nombor dan alat berunit piawai atau alat yang diseragamkan sebagai unit rujukan. Pengukuran menjadikan pemerhatian lebih jitu.
- Membuat inferensMembuat kesimpulan awal yang munasabah yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian.
- Meramalkan
Meramal merupakan proses membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau berdasarkan data. Meramal merupakan proses yang berterusan dan di lakukan sepanjang masa.
Berkomunikasi
Berkomunikasi bermaksud bertukar data atau informasi yang digabungkan dengan proses pemerhatian agar mudah difahami. Berkomunikasi melibatkan proses menerima, memilih, menyusun dan mempersembahkan maklumat atau idea dalam bentuk tulisan, lisan, jadual, graf, rajah atau model.
- Menggunakan perhubungan ruang dan masaKemahiran ini merangkumi keupayaan untuk memerihalkan parameter seperti lokasi, arah, bentuk, saiz, isipadu, berat dan jisim dengan masa.
Mentafsirkan data
Kemahiran ini merupakan proses memberi penerangan yang rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada data yang dikumpulkan.
Mendefinisikan secara operasi
Mendefinisikan secara operasi merupakan suatu proses memberi tafsiran tentang sesuatu konsep dengan menyatakan perkara yang dilakukan dan diperhatikan.
Mengawal pembolehubah
Mengenal pasti pemboleh ubah dimanipulasikan, pemboleh ubah yang bergerak dan pembolehubah yang dimalarkan. Dalam sesuatu penyiasatan satu pembolehubah dimanipulasikan untuk memerhatikan hubungannya dengan pemboleh ubah bergerak balas. Pada masa yang sama pemboleh ubah yang lain dimalarkan.
Membuat hipotesis
Kemahiran ini merupakan proses membuat suatu pernyataan umum tentang hubungan antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu peristiwa. Pernyataan ini boleh diuji untuk menentukan kesahihannya.
Mengeksperimen
Kemahiran ini merupakan proses merancang dan menjalankan penyiasatan untuk menguji sesuatu hipotesis, mengumpulkan data, mentafsirkan data sehingga mendapat rumusan daripada penyiasatan itu.