Cara-Cara Belajar Dengan Berkesan

Peperiksaan merupakan suatu penanda aras tentang tahap pemahaman kita sepanjang tempoh pembelajaran. Oleh itu, semestinya pelajar berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Apabila tibanya musim peperiksaan, para pelajar pastinya menggunakan pelbagai teknik belajar yang sesuai dengan diri masing-masing.

Ketika anda sedang belajar, agak-agaknya berapa yang anda dapat sepanjang anda berada di meja tersebut? Adakah pelajaran itu masuk ke dalam otak anda dengan baik? Ataupun sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

Dalam artikel ini, anda akan didedahkan kepada cara-cara belajar dengan berkesan dan beberapa tips yang boleh membantu pelajar.

1. Mengatur Masa

Masa amat kritikal dalam pembelajaran berkesan, oleh itu anda perlu mengaturnya dengan baik. Anda perlu membuat jadual waktu harian dan membekalkan beberapa jam mengikut kemampuan anda untuk belajar dan mentelaah pelajaran. Dengan berbuat demikian, ia boleh memberikan anda keputusan yang lebih dalam peperiksaan.

2. Tidur dengan cukup
Ramai yang mengambil langkah untuk berjaga malam jika terdapat terlalu banyak subjek dan tajuk yang perlu di baca dan di ulangkaji. Tetapi, anda tidak semestinya akan dapat A jika anda tidak tidur. Malah ada kaitan rapat antara kekurangan dalam kemahiran berfikir dan sensitif terhadap stress dengan tidur yang tidak mencukupi. Cuba dapatkan masa tidur antara tujuh hingga sembilan jam pada hari-hari sebelum peperiksaan besar supaya usaha anda selama ini tidak menjadi sia-sia.

3. Berikan Badan Rehat

Jika anda belajar untuk beberapa jam dalam satu sesi, pastikan anda mengambil rehat sekurang-kurangnya 5 minit setiap setengah jam ataupun sejam. Ini boleh membantu peredaran darah ke otak anda, pada masa yang sama boleh memberikan ketenangan kepada fikiran anda. Keadaan tersebut boleh meningkatkan daya ingatan dan tumpuan anda.

4. Ulangkaji Subjek Yang Sukar Terlebih Dahulu

Semasa mengulangkaji pelajaran, mulakan dengan subjek yang anda rasa sukar terlebih dahulu. Hal ini untuk memberikan seluruh tumpuan yang masih segar anda kepada subjek yang anda perlu tekankan terlebih dahulu. Kemudiankan subjek-subjek yang anda rasa agak senang untuk skor.

5. Fahami Definisi dan Maksud

Bagi sesetangah subjek, definisi ataupun maksud sesuatu perkataan sangat memainkan peranan yang penting. Oleh itu, jika anda berhadapan dengan subjek yang banyak memerlukan anda menghafal definisi sesuatu, anda perlu dapatkan pemahaman yang mendalam akan maksud tersebut.

6. Manfaatkan kemahiran mengingat:

  • Tampal nota-nota penting di dinding
  • Gunakan kaedah akronim
  • Tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
  • Reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat

Amaran

1. Jangan belajar ketika anda tertekan ataupun stress, kerana tidak akan berhasil. Usaha anda akan sia-sia. Adalah terbaik jika anda hilangkan tekanan tersebut sebelum memulakan ulangkaji/belajar.

2. Jangan belajar ataupun ulangkaji sehingga tidak menjaga kesihatan. Anda perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan kerapkan bersukan semasa anda menuntut ilmu.

Spread the love