Bahasa Melayu Kuno, Klasik dan Moden? Apa perbezaannya?

Bahasa Melayu secara majoriti dituturkan oleh masyarakat di Malaysia, Indonesia dan persekitarannya yang merupakan sejenis bahasa Melayu-Polinesia (bahasa Austronesia). Bahasa ini bukan sahaja menjadi bahasa kebangsaan Malaysia, tetapi juga Indonesia, Brunei dan Singapura. Penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand, Sri Lanka, Kemboja, Filipina, Vietnam dan Afrika Selatan juga bertutur dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek. Setiap dialek pula mempunyai perbezaan dari segi sebutan dan kosa kata.

 

Berdasarkan statistik penggunaan bahasa di dunia, Bahasa Melayu merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas Bahasa Inggeris, Mandarin dan Hindi/Urdu. Bahasa ini telah diajar di universiti-universiti di peringkat antarabangsa seperti di Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

 

Bahasa Melayu terbahagi kepada tiga tahap iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden. Perbezaan ketara telah terjadi antara tiga tahap ini sejak kedatangan agama Islam dan Hindu, termasuk penjajah Eropah di Asia Tenggara.

 

Bahasa Melayu Kuno:

  • Mempunyai pengaruh yang kuat daripada Sanskrit dan Hindu.
  • Gemilang sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran pada abad zaman Sriwijaya daripada abad ke-7 hingga abad ke-13.
  • Ditutur di Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Kepulauan Riau.
  • Diterima ramai kerana bersistem lebih mudah berbanding Bahasa Jawa, bersifat sederhana, mudah menerima pengaruh luar dan tidak terikat dengan perbezaan susun lapis masyarakat.
  • Antara contoh perkataan: wulan (bulan), mangalap (mengambil), mamava (membawa), sukhacitta (sukacita), datam (datang), rajaputra (putra raja), vatu (batu).

 

Bahasa Melayu Klasik:

  • Mempunyai pengaruh daripada Bahasa Arab dan Islam.
  • Menggunakan bahasa istana.
  • Banyak ayat pasif dan songsang.
  • Ayat panjang dan berulang.
  • Banyak menggunakan partikel ‘pun’ dan ‘lah’.
  • Menggunakan kosa kata klasik seperti ‘ratna mutu manikam’, ‘edan `kesmaran’ (mabuk asmara), ‘sahaya’, ‘masyghul’ (bersedih).
  • Wujud unsur-unsur falsafah Islam.

 

Bahasa Melayu Moden:

  • Mempunyai pengaruh daripada penjajah Barat, terutama Inggeris.
  • Bermula pada abad ke-19 selepas penjajahan Barat seperti Belanda, Inggeris dan Portugis.
  • Hasil karya Abdullah Munsyi iaitu Hikayat Abdullah (1849) dianggap sebagai permulaan zaman Bahasa Melayu Moden.
  • Dijadikan bahasa kebangsaan Malaysia (Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan) sejak 1957 dan bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran (Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67).

 

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik. Mulai hari ini, mantapkan lagi tahap pertuturan anda dalam Bahasa Melayu. Bagi pelajar-pelajar, pelajarilah bahasa ini dengan sebaik mungkin. Sangat mudah untuk mendapat skor A dalam subjek Bahasa Melayu. Sebagai rakyat Malaysia pula, kita mesti menggunakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan ini tanpa rasa malu atau terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris.

 

Sebagai rakyat Malaysia, mari kita kuasai Bahasa Melayu!

Spread the love