Bagaimana menjadikan Kelas Mengaji lebih efektif?

Kelas mengaji adalah merupakan antara kelas yang wajib bagi setiap individu. Tidak kira sama ada kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Antara sebabnya ialah supaya setiap muslim boleh membacakan ayat-ayat Al-Quran di dalam solat mereka dan juga sebagai zikir dalam kehidupan seharian.

 

Alhamdulillah, kini khususnya di Malaysia sudah timbul kesedaran bagi majoriti rakyatnya yang mahu mengikuti kelas-kelas mengaji yang diadakan tidak kira dengan menghadiri kelas di masjid, di surau, di pusat pengajian, dan juga di rumah secara ‘offline’ mahupun ‘online’.

 

Justeru itu, saya ingin kongsikan di sini bahawa fenomena positif yang berlaku di negara kita sekarang masih perlu kita tambahbaik supaya perkongsian ilmu yang diadakan di Malaysia ini mampu menyelesaikan masalah yang melanda kini.

 

Mutakhir kini, jika diperhatikan perkembangan yang positif mula menular. Pelbagai metod pengajaran mengaji dipopularkan seperti melalui nyanyian, tarian, pergerakan aktiviti dan pelbagai lagi cara yang diketengahkan semata-mata mahu rakyat di Malaysia boleh membaca Al-Quran.

 

Al-Quran memang kitab suci yang tidak ada keraguan padanya tetapi persoalannya sekarang sudahkah kita benar-benar tidak meragui terhadap sifat Al-Quran itu? Serta segala ajarannya sudah kita penuhi dan mengamalkan dalam kehidupan kita?

 

Berbalik kepada perbincangan kita berkenaan kelas mengaji. Pertanyaan sejujurnya, adakah kita merasakan bahawa lambakan kebanyakan kelas mengaji yang ada di Malaysia kini sudah memadai untuk mengupayakan kepada penyelesaian masalah kita?

 

Izinkan saya membentangkan sesuatu penyelesaian kepada perkara yang kita sangat risaukan dengan menjadikan Al-Quran sebagai asas kepada solusi ini. Kebanyakan kelas mengaji yang ada di Malaysia ini menyelesaikan masalah mengenai ‘mengenal sebutan huruf’ dan ‘apa tajwidnya’. Benar kan?

 

Di sini, saya ingin membawa satu dimensi lagi kepada pengajian mengaji di Malaysia iaitulah ‘Tadabbur’. Barangkali, ini lah antara faktor utama yang ditinggalkan oleh kebanyakan pengajar kelas mengaji. Sedangkan intipatinya banyak menyelesaikan masalah pemikiran seperti liberalisme, sekularisme, feminisme, agnostik, ateis, skeptisme dan pelbagai lagi.

 

Sebelum saya mahu membawa perbincangan ini lebih mendalam, suka untuk saya kongsikan definisi ‘Tadabbur’. Apa yang dimaksudkan dengan ‘Tadabbur’? Secara ringkasnya, tadabbur ialah kefahaman kita pada satu-satu ayat di dalam Al-Quran yang mana ia menjadi ‘outcome’ kita untuk bertindak sesudah itu.

 

Terdapat bermacam-macam cara bagaimana untuk kita ber’Tadabbur’ Al-Quran ini. Tapi bagi perkongsian saya pada kali ini berpadalah untuk kita merungkaikan hanya sebahagian kecil kepada elemen-elemen Tadabbur ini.

 

Mengenal sebutan bacaan dan ilmu tajwid adalah ibarat wuduk dalam solat, manakala ilmu tadabbur ini pula diumpamakan sebagai pelaksanaan solat itu sendiri. Ia saling melengkapi, tidak lah pula saya mengatakan sebutan bacaan dan tajwid tidak penting hanya ia tidak memadai sekadar itu sahaja.

 

Ini diperkuatkan lagi dengan dalil dari surah Al-Muzammil: ayat 4-5. Surah ini bermaksud ‘orang yang berselimut’, iaitu merujuk ketika nabi Muhammad saw ketakutan menerima wahyu pertama di gua hira’ dan ia diumpamakan juga kepada orang yang tidak sedar hakikat kehidupan ini yang ‘berselimut’ dari tunduk arahan dan petunjuk dari ilahi.

 

Surah Al-Muzammil ayat 4 merujuk kepada elemen mengenal sebutan bacaan dengan ber’tartil’ dan bertajwid manakala ayat 5 pula merujuk kepada perlunya elemen tadabbur dalam pembacaan Al-Quran.

 

Isu-isu yang diselesaikan dari Al-Quran sangat komprehensif tapi secara ringkas di sini ada 5 kategori yang Al-Quran pelihara kita iaitu dari sudut agama atau kepercayaan, harta, keturunan, akal dan nyawa. In sya allah, akan saya terangkan 5 sudut ini pada artikel yang akan datang.

 

Selain itu juga, Al-Quran tidak mengenepikan sudut ilmu yang sepatutnya kita sebagai seorang muslim mesti pelajarinya menurut Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab ‘Al-Thaqafah Al-Daieyah’ iaitulah ilmu agama, ilmu sains primer, ilmu sains sosial, ilmu bahasa, ilmu sejarah dan juga ilmu isu semasa.

 

Kajilah dan buktikan bahawa elemen keperluan manusiawi kita sentiasa dipenuhi di dalam Al-Quran. Allah swt yang menciptakan kita sudah pasti dia juga tahu apa yang kita perlukan dan apa manual rujukan yang diperlukan sepanjang hidup kita ini. In sya allah, semoga kita berjumpa lagi pada artikel yang akan datang.

 

Fahami Al-Quran, ia akan membimbing hidup kita. Tinggalkan fungsi Al-Quran, ia tidak akan membuatkan hidup kita lebih baik. Harapan saya, Malaysia akan harmoni menurut panduan Al-Quran dan semoga penghafaz Al-Quran tidak benci akan Al-Quran dan menjadi pengkaji sejati kalam ilahi ini.. Ameen ya rabb

 

 

Sheikh Sulaiman Bin Sheik Harun
Founder modul “Mudahnya Faham Al-Quran”
Manager CMN Academy Ampang

Spread the love