Apa Itu IoT (Internet of Things)?

Apa itu IoT?

1. IoT – Internet of Things

2. Menghubungkan pelbagai alat (device) kepada internet dan kepada alat lain.

3. Internet membolehkan sesuatu alat menerima dan menghantar maklumat dan seterusnya mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diterima. Ini menjadikan alat tersebut sebagai alat pintar.

4. Inilah yang dimaksudkan dengan IoT iaitu, alat mempunyai kepintaran untuk berhubung dengan alat lain dan mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diterima.

5. Sebagai contoh, telefon pintar dihubungkan dengan stesen kaji cuaca di seluruh dunia. Maklumat daripada GPS pula dapat menentukan lokasi telefon tersebut. Dengan dua maklumat itu, ia boleh memberi maklumat ramalan keadaan cuaca di lokasi pengguna telefon itu berada.

6. Rumah pintar boleh mengawal pencahayaan, suhu, sistem tv dan radio, keselamatan (contohnya boleh mengesan asap jika berlaku kebakaran dan terus menghubungi balai bomba), sistem keluar masuk rumah, penggera keselamatan yang boleh berhubung terus dengan polis dan telefon pemilik rumah dan pelbagai lagi.

7. Bila IoT bermula? Seawal tahun 1962, idea tentang komunikasi antara mesin telah mula dibincangkan dan ini membawa kepada pembangunan internet. Mesin ATM online pertama kali wujud pada tahun 1974 dan ini merupakan konsep IoT walaupun belum dinamakan sebagai IoT. Pada awal 1980an, mesin coca cola di Universiti Carnegie Melon telah dihubungkan dengan internet untuk memeriksa sama ada minuman dalam mesin mencukupi dan cukup sejuk. Istilah IoT bermula pada tahun 1999 selepas diperkenalkan oleh Kevin Ashton. Pada tahun ini (2019), IoT berubah kepada satu sistem yang menggunakan pelbagai teknologi yang membawa perubahan kepada pelbagai industri, menggunakan komunikasi tanpa wayar dan dataraya.

8. Bagaimana IoT boleh berlaku? Untuk membolehkan pelbagai peralatan berkomunikasi antara satu sama lain, perlu ada 3 perkara berikut: i. Identiti yang unik – disediakan melalui protokol internet; ii. Mempunyai cara untuk berkomunikasi – iaitu melalui internet; iii. Mempunyai sensor untuk mengumpulkan data yang boleh dikongsikan dengan alat lain. Antara sensor yang digunakan adalah suhu, jarak, tekanan, kualiti air, asap, gas, pergerakan, infrared, humiditi dan pelbagai sensor lain.

9. Bagaimana IoT memperbaiki kehidupan kita? Boleh mengawasi keselamatan dan kesihatan, memudahkan pekerjaan, mengawal keadaan dalam rumah dan persekitarannya, membuat ramalan dan sebagainya.

10. Seterusnya mari kita sama-sama fikirkan dan ambil tindakan terhadap perkara berikut:
i. Bagaimana IoT boleh digunakan dalam pendidikan?
ii. Bagaimana menyediakan murid yang boleh mengaplikasikan IoT?
iii. Apakah aktiviti berkaitan IoT yang boleh dilaksanakan dalam kelas?
iv. Apakah inovasi berkaitan IoT yang boleh dihasilkan bersama-sama anak murid kita?

11. Kesimpulannya, banyak perubahan yang sedang berlaku dalam era IR 4.0 ini dan kita perlu berusaha bersungguh-sungguh menambahkan ilmu supaya seiring dengan perubahan dan kemajuan teknologi.

#STEM4ALL
#MalaysiaMembaca

 

Dr Ihsan Ismail (Pusat Sains Negara)

 

Sumber:  Internet of Things (IoT)

Spread the love