7 Langkah Membina & Mencapai Matlamat Diri Sendiri!


Artikel motivasi ini menjelaskan langkah-langkah atau cara-cara membina / menetapkan matlamat serta mencapai matlamat diri atau organisasi anda dengan lebih berkesan, insya-Allah.

Untuk mencapai cita-cita atau matlamat anda dan berjaya dalam kehidupan, anda mestilah membina suatu kebiasaan berdasarkan langkah-langkah yang telah terbukti keberkesanannya seperti berikut: 

 

  1. Kenal Pasti Semua Keperluan & Keinginan Anda Sejelas-jelasnya
  • Tuliskan semua keperluan dan keinginan atau cita-cita anda yang terlintas di fikiran anda. Apabila jumlahnya menjangkau 50 hingga 100, akan timbul suatu bentuk semangat pada diri anda. Perasaan inilah yang akan menyemarakkan semangat anda melangkah ke hadapan untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Insya-Allah.

 

  1. Tetapkan dan Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda
  • Setelah merumus dan mengenal pasti semua keperluan dan keinginan anda, susunkan mengikut keutamaan pada sehelai kertas. Ini amat penting kerana jika anda tidak berbuat demikian, cita-cita anda itu hanya akan menjadi angan-angan. Dengan menulis ke atas kertas, cita-cita anda itu akan menjadi perkara yang amat penting bagi anda. Dengan menjadikannya suatu dokumen dan diberi perhatian, ianya akan meresap ke dalam minda separa sedar anda. Hasilnya, matlamat-matlamat anda itu akan menjadi sebahagian yang signifikan dalam hidup anda dan anda tidak akan berpuas hati selagi matlamat-matlamat anda belum tercapai.

 

  1. Tetapkan Tarikh Pencapaian Matlamat Anda
  • Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat-matlamat anda itu kemudian TETAPKAN tarikh matlamat anda mesti dicapai.

 

  1. Lakukan Perancangan Tindakan
  • RANCANGKAN tindakan-tindakan yang mesti anda lakukan untuk mencapai matlamat-matlamat anda mengikut keutamaan. Nilai semula dan lakukan pembaikan pada senarai jadual tindakan-tindakan anda dari semasa ke semasa. Ini penting untuk memastikan matlamat anda tercapai seperti yang anda tetapkan.

 

  1. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda
  • Letakkan sebuah Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya. Gambarkan imej minda yang jelas pada mata minda anda tentang kejayaan anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang – berkali-kali di fikiran anda. Lihat kejayaan dan keadaan anda yang hebat dalam studio itu. Gambaran kejayaan dalam minda anda itu akan menjadikan motivasi diri anda sentiasa di tahap teratas. Dengan semangat berkobar-kobar itu, anda akan lebih yakin, lebih bertekad dan lebih fokus untuk mencapai matlamat anda.

 

  1. Tangani Halangan
  • Dalam melaksanakan rancangan tindakan anda, ada kalanya anda menghadapi halangan-halangan. Halangan-halangan itu mungkin berpunca dari diri anda sendiri atau dari orang lain. Anda perlu tabah dan proaktif dalam menghadapi situasi-situasi tersebut.
  1. Sokong Usaha Anda dengan Keazaman & Tekad
  • Sokong rancangan anda dengan keazaman dan semangat tidak kenal putus asa. Tekadkan semangat. Tumpukan kepada mencapai kejayaan. Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan. Bulatkan hati dan fikiran. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran.

 

 

 

5 SIKAP UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN!

Anda ingin mencapai kecemerlangan dalam pelajaran? Sudah tentu, bukan? Tetapi, ingatlah, kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan hanya akan diperoleh dengan usaha yang gigih dan terancang, serta keazaman yang kuat.

A – Attitude/Sikap

  • Pelajar yang berjaya mempunyai sikap yang positif.
  • Rajin mengambil bahagian dalam pelajaran.
  • Bertanya apabila tidak faham dan menjawab soalan apabila ditanya oleh gurunya, sewaktu di dalam kelas.
  • Mendengar dengan teliti ketika guru mengajar.

 

B – Belief/Kepercayaan

  • Mempercayai bahawa anda ada kebolehan, kelebihan dan kekuatan tersendiri. Yakin bahawa anda boleh lulus dalam peperiksaan dengan baik.
  • Berusaha dengan gigih dan seterusnya membawa kepada kejayaan yang besar.

 

C – Confidence/Keyakinan

  • Berasa selesa ketika menghadapi peperiksaan.
  • Yakin bahawa anda boleh menjawab soalan peperiksaan dengan baik.
  • Sering bertanya apabila dia tidak memahami kandungan pelajaran yang guru sampaikan, dan mengambil bahagian secara aktif di dalam kelas.

 

D – Determination/Keazaman 

  • Keazaman yang kuat mendorong pelajar berusaha dengan lebih gigih dan tekun.
  • Tidak cepat berputus asa, dan menganggap kegagalan sebagai satu cabaran. Dia akan terus berusaha sehingga mencapai kejayaan, memperbanyakkan membaca dan memenuhi masa lapang dengan mengulangkaji.

 

E – Enthusiasm/Semangat

  • Tidak pernah menangguhkan segala kerja sekolah.
  • Membuat ulang kaji pelajaran sejak awal lagi sebelum menghadapi peperiksaan.
  • Projek sekolah juga akan disiapkan sebelum tarikh akhir penghantaran.
  • Semangat yang tinggi akan meningkatkan kerajinan pelajar.

 

 

Spread the love