6 Tip Mudah Ajar Anak Minat Matematik

6 Tip Mudah Ajar Anak Minat Matematik

Subjek Matematik dianggap subjek yang paling sukar di sekolah di kalangan pelajar. Disebabkan pandangan inilah ramai pelajar yang terkandas dan tidak dapat menguasai subjek ini walaupun asas yang mudah.

Matematik sebenarnya sangat mudah kerana ia satu subjek yang penggunaannya paling praktikal dalam kehidupan seharian kita. Masa, wang, ukuran dan sebagainya adalah sesuatu yang kita gunakan selalu.

Cuba fikirkan satu aktiviti yang tidak memerlukan Matematik dalam kehidupan kita. Bermula dengan aktiviti tidur, kita gunakan untuk mengira jam berapa kita perlu bangun untuk memastikan kita mendapat tidur yang secukupnya, sehinggalah kepada aktiviti makan, untuk mengira berapa kunyahan yang perlu atau untuk mengira kalori yang diperlukan berdasarkan berat badan kita dan sebagainya.

Matematik lebih dekat lagi dengan Islam. Allah swt menganjurkan agar kita bangun melakukan qiyamulai di sepertiga (1/30) malam. Jika tidak pandai Matematik, bolehkah kita menganggarkan jam berapa sepertiga malam tersebut?

Rukun Islam ada 5, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu.

Agak-agaknya mampukah kita untuk mengira zakat jika kita tidak faham peratusan dalam matematik atau mampukah kita mengatur perbelanjaan dan pendapatan agar dapat diperuntukkan untuk menunaikan haji nanti.

Konsep ini perlu kita fahami agar kita dapat terangkan pada anak-anak tentang kepentingan mempelajari Matematik dalam hidup mereka.

Untuk aktiviti seharian pula lagilah kita perlukan Matematik seperti untuk berbelanja, merancang perbelanjaan dan juga dalam pelaburan.

Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin kita perlu memastikan anak-anak menyukai subjek ini supaya dapat membantu mereka menguasai subjek ini dari awal lagi.

Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk melahirkan rasa gembira dan seronok dalam diri anak-anak untuk mempelajari subjek Matematik.

Bina Kefahaman Yang Benar Tentang Matematik

Kadang kala tanpa disedari sikap ibu bapa yang tidak menggemari Matematik turut menjadi punca utama anak-anak tidak menyukai Matematik. Selain itu, kaedah yang digunakan juga turut menjadi punca kepada masalah ini.

Matematik adalah satu subjek yang kita ketahui banyak konsep yang perlu difahami dan formula yang perlu diingati justeru ibu bapa perlu mencari kaedah yang terbaik untuk memperkenalkan Matematik dengan kaedah yang menyeronokkan agar anak-anak seronok belajar Matematik.

Usaha ini perlu diberi pendedahan semasa anak masih kecil lagi. Minat anak-anak boleh dipupuk seawal yang mungkin melalui aktiviti harian mereka. Luangkan atau gunakan masa bersama mereka untuk menerangkan tentang konsep asas Matematik.

Contohnya, mintakan anak untuk mengambil dua biji limau kemudian minta dia ambilkan lagi dua biji limau dan bahagikan dengan berapa orang yang ada. Disini kita boleh ajarkan konsep tambah dan pecahan kepada mereka..

 

Kaitkan Segalanya Dengan Matematik

Kita sebagai ibu bapa atau guru tidak boleh menghadkan minda kita dengan menyatakan bahawa untuk mengajar Matematik perlu di rumah atau di sekolah sahaja, perlu ada di meja atau sebagainya.

Disebabkan hidup ini dikelilingi Matematik, anda boleh setiap masa ajari anak anda dengan Matematik. Contohnya, jika anda dalam perjalanan menaiki kenderaan, sambil memandu cuba tanyakan anak berdasarkan papan tanda berapa jauh lagi perjalanan, dalam masa yang sama cuba ajarkan anak menukar unit dari kilometer kepada meter.

Jika anda sedang bersiar-siar dengan anak-anak di taman, cuba tanyakan mereka berapa buah bilangan buaian yang ada di taman (konsep tambah dan berapa buah yang rosak, kira jumlah yang boleh digunakan. Mudah bukan?

 

Bawa Anak-Anak Membeli-Belah 

Anak-anak sangat gembira ketika di bawa membeli belah. Gunakan masa ini sebaiknya untuk menerangkan asas Matematik kepada mereka. Antara yang boleh kita ajarkan ialah konsep mahal dan murah, berapa keping wang lima ringgit perlu diberikan jika membeli barang bernilai RM10 dan sebagainya.

Untuk anak-anak tahap dua atau sekolah menengah boleh kenalkan pada mereka konsep diskaun dan belajar mengira harga barangan setelah diberi

 

Ajar Anak Melalui Aktiviti 

Anak-anak sebenarnya sangat gembira jika kita sebagai ibu bapa melibatkan mereka semasa di dapur terutama anak-anak perempuan. Semasa memasak kita boleh ajarkan unit ukuran yang merupakan salah satu asas dalam penguasaan Matematik.

Untuk anak-anak yang lebih dewasa cuba ajarkan mereka bagaimana ingin menukarkan unit kilogram kepada gram apabila ingin menimbang tepung gandum contohnya. Bagi anak-anak yang masih kecil cuba ajarkan konsep tambah dan tolak, contohnya apabila membantu menyusun pinggan dan gelas untuk hidangan makan malam.

Belajar Melalui Permainan

Anak-anak sangat suka bermain, apa kata jika gunakan ini sebagai satu peluang. Melalui permainan seperti Monopoly atau dam ular, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mencongak, menambah dan juga menolak. Jika diberi soalan tentang untung dan rugi menggunakan buku, hanya anak-anak yang fokus tinggi dapat memahaminya berbanding jika bermain Monopoly, mereka belajar dalam suasana yang amat menyeronokkan. Selain itu, terdapat pelbagai aplikasi matematik yang boleh di muat turun untuk anak-anak agar mereka dapat memahami konsep asas Matematik dalam suasana yang menarik.

 

Ransangan Melalui Muzik

Muzik merupakan salah satu kaedah berkesan untuk membantu anak-anak dalam pembelajaran. Kanak-kanak akan lebih mudah untuk menghafal jika di bantu dengan muzik. Anda boleh samada mengubah sendiri lirik lagu yang anak-anak minat untuk ditukarkan kepada hafalan anak-anak atau anda boleh layari internet untuk mendapatkan video berkaitan. Hafalan sifir sangat sesuai jika dihafal menggunakan muzik.

Kesimpulannya, kita harus tanam dalam diri kita terlebih dahulu bahawa Matematik itu mudah. Kemudian serapkan fahaman ini dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Tekankan pada mereka bahwa Matematik ada dalam semua subjek dan Matematik digunakan dalam kehidupan seharian kita. Masa, wang, ukuran, bilangan semuanya adalah yang kita tempuhi setiap hari.

Dalam masa yang sama, sangat penting untuk ibu bapa menjadikan proses pembelajaran Matematik samada secara langsung atau tidak langsung berjalan dalam keadaan yang menyeronokkan, bukan dalam paksaan atau suasana yang menekan, kerana ini akan menyebabkan mereka akan terus beranggapan bahawa Matematik itu susah dan sukar.

Spread the love